fbpx

Pelantikan Musa YDP Sabah diperkenan Agong, saya terima baik – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tiga dari kiri) dan Kit Siang (dua dari kanan) pada majlis pelancaran buku Lim Kit Siang: Malaysia First Jilid 1 and 2 di Restoran Tandoor Grill Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau menerima baik pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.

Beliau berkata, pelantikan Musa berkenaan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berkuasa melantik Yang di-Pertua Negeri Sabah sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan negara.

“Apakah PM (Perdana Menteri) tak tahu (pelantikan Musa)? PM tahu. Memang dirujuk tetapi PM yang tahu ini pun, tahu Perlembagaan dan batasannya (kuasa Perdana Menteri).

“Sekarang, setelah Agong perkenan, apa pendirian saya? Saya terima baik keputusan Agong dan mendoakan sebaiknya supaya Tun Musa Aman akan menjadi seorang YDP negeri yang baik untuk Sabah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Musa daripada semua kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah telah berlaku pada 2020 dan tidak sepatutnya menjadi isu lagi.

“Keputusan melepaskan dia (Musa) keputusan tahun 2020 semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri. Apa isunya? Kemudian melalak, seolah-olah jadi masalah apa? Ada kes, dibawa. Tiada kes, ditutup,” katanya.

Mengulas tentang keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), beliau berkata, kerajaan menghormati keputusan tersebut.

“Macam-macam tafsiran ada. Yang saya tahu, ini keputusan mahkamah dan serah pada Peguam Negara untuk ambil tindakan berikutnya. Adalah tidak munasabah untuk menjangkakan pentadbiran saya seperti pentadbiran dulu, di mana Perdana Menteri boleh panggil hakim dan bagi arahan.

“Saya tidak menemui mana-mana hakim dan saya tidak bicara dengan Ketua Hakim Negara dalam soal keputusan mahkamah. Kita hormati keputusan mahkamah. Kalau Peguam Negara merasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan Peguam Negara,” katanya.

Anwar berkata, keputusan mahkamah terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu tidak perlu jadi kontroversi.

“Keputusan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) kepada pembangkang juga ramai. Keputusan (kes Rosmah) ini telah diambil dan kita akan baca dan teliti keputusan hakim,” katanya.

Terdahulu, Anwar melancarkan buku Lim Kit Siang: Malaysian First di sini yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, bekas pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI