KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kaitan rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand dengan skim pelaburan Nicshare dan CommonApps yang mengakibatkan kerugian lebih berjumlah RM8.5 juta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 24 laporan polis telah diterima berkaitan pelaburan Nicshare dengan jumlah kerugian mencecah RM8.2 juta.
Tambahnya, bagi skim pelaburan CommonApps pula, sebanyak dua laporan diterima melibatkan nilai kerugian RM340,079.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu, selain tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
“Beberapa individu dan entiti berkaitan sudah didakwa namun siasatan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan turut merangkumi kaitan rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand dengan skim pelaburan tersebut.
Terdahulu, media melaporkan pihak berkuasa Thailand telah membongkar sindiket penipuan utama yang melakukan pengubahan wang haram lebih 5 bilion Baht melalui rangkaian transaksi palsu.
Komander Bahagian Pencegahan Jenayah Ekonomi (ECD) di bawah Biro Siasatan Pusat (CIB), Mejar Jeneral Puttidej Bunkrapue memaklumkan, seorang rakyat Malaysia berusia 38 tahun yang menjadi ketua sindiket itu ditahan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao, wilayah Songkhla, pada 16 Disember lalu ketika memasuki Thailand.
Isterinya, seorang warga Thailand yang turut terbabit dalam skim tersebut, ditangkap di lokasi berbeza dua hari kemudian.-KOSMO! ONLINE.