BALIK PULAU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pemuda yang hilang selepas bot yang mereka naiki hanyut dalam kejadian di Pantai Keracut, Kuala Sungai Pinang di sini, Isnin lalu akan diteruskan sehingga esok.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, operasi yang memasuki hari keempat itu kini menjangkau dengan keluasan sektor pencarian hampir 250 batu nautika persegi.
“Keseluruhan kawasan sektor pencarian dilaksanakan oleh tiga buah aset laut dan dua buah pesawat udara yang dikerahkan oleh Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Mangsa yang berumur 22 dan 25 tahun itu dipercayai melakukan aktiviti perikanan sebelum dilaporkan hilang di tempat kejadian.
“Operasi akan diteruskan sehingga Sabtu ini jika masih tiada petunjuk baharu yang diperolehi,” katanya di sini, petang ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua pemuda hilang dipercayai selepas bot yang mereka naiki mengalami kerosakan sebelum hanyut semasa keluar memukat ikan di perairan Keracut, Kuala Sungai Pinang.
Kehilangan mangsa, Nor Hasrul Abdullah, 25, yang berasal dari Paya Kongsi, dan rakannya, Muhamad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dari Titi Teras dikatakan sudah menghampiri 92 jam, selepas kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 7 malam itu.
Mengulas lanjut beliau berkata, Maritim Negeri Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 11 penemuan mayat merangkumi pelbagai insiden di laut yang telah diambil tindakan sewaktu kejadian di laut.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan, jumlah insiden yang direkodkan kerana kurangnya kepekaan mangsa terhadap keadaan cuaca di laut sewaktu melakukan aktiviti perikanan.
“Aktiviti yang berorientasikan perniagaan termasuklah pengusaha feri juga tidak terkecuali berhadapan dengan isu keselamatan di laut memandangkan hujan lebat, angin kencang, serta laut bergelora yang tidak menentu.
“Justeru, bagi mengurangkan kadar kemalangan di laut, kita akan menggiatkan program ‘Preventive SAR ‘ dengan membuat rondaan dan pemantauan di jeti sekitar pantai serta di perairan seluruh negara.
“Ini bertujuan bagi memberi peringatan serta kesedaran kepada komuniti tentang kepentingan menjaga keselamatan ketika berada di laut ketika musim cuti persekolahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE