IPOH – Penerbitan buku Laporan Eksekutif Impak Kelestarian Sosial oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bermatlamat untuk menilai kesan sosial terhadap para asnaf di bawah bantuan zakat MAIPk pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, laporan itu memberi tumpuan kepada tiga perkara, antaranya mengenal pasti jenis program dan skim agihan zakat yang diterima oleh asnaf berdasarkan pengukuran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Selain itu, katanya, ia juga menganalisa impak kelestarian sosial mustahik (penerima zakat) melalui MAIPk dengan padanan SDG dan Maqasid Al-Syariah.
“Ia juga merumuskan impak dan kelangsungan mencapai kemaslahatan penerima zakat dari sudut kesejateraan hidup meliputi makanan, perlindungan, pendidikan, kesihatan serta ibadah,” katanya di sini hari ini.
Peluncuran buku itu disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad diiringi Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini sempena persidangan MAIPk ke-230 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini.
Pada masa sama, Syamsul Hazeman berkata, perkara itu sebagai langkah penting ke arah menggalakkan tatakelola yang baik dalam pengurusan agihan zakat.
Tegas beliau, MAIPk akan terus komited dengan peningkatan prestasi kutipan dan agihan zakat dalam negeri ini serta memastikan penyesuaian perubahan dinamik agar dapat terus releven sebagai institusi pembangunan sosioekonomi ummah sepanjang zaman.
Buku laporan ini boleh dimuat turun di pautan portal MAIPk https://www.maiamp.gov.my/. – KOSMO! ONLINE