PETALING JAYA – Islam menitikberatkan kebajikan pekerja dan memberi peringatan keras kepada majikan yang menzalimi pekerjanya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu hantaran di Facebook berkata, majikan perlu memastikan hak pekerja kerana ia merupakan suatu amanah.
“Sebagai majikan, berikan hak pekerja dengan adil. Sebagai pekerja, tunaikan tugas dengan ikhlas. Ini bukan hanya soal tanggungjawab, tetapi juga soal amanah di hadapan Allah S.W.T,” kata Jakim hari ini.
Menurut Jakim, keadilan terhadap pekerja juga melambangkan kesempurnaan iman seseorang dan menjadikan tempat kerja lebih harmoni serta diberkati. – KOSMO! ONLINE