fbpx

Lapan individu didakwa kes ajaran ‘Tuhan Harun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara wanita dan lelaki yang dituduh mempunyai kaitan dengan ajaran sesat 'Tuhan Harun' di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Lima wanita dan tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini atas pertuduhan mempunyai kaitan dengan ajaran sesat ‘Tuhan Harun’.

Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Dr. Zainal Abidin Kusmi.

Mereka antaranya didakwa membuat hantaran menerusi aplikasi Telegram dengan membuat dakwaan palsu bahawa Harun adalah tuhan seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 B dan Seksyen 46 B Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Zainal Abidin membenarkan jaminan secara lisan ke atas semua tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan dengan sebutan kes bagi menetapkan kos jaminan ditetapkan pada Isnin depan.

Terdahulu, semua individu yang berpakaian biasa itu dibawa ke mahkamah dengan dikawal ketat anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kira-kira pukul 3 petang.

Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya menyerbu dan menggeledah sebuah premis di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

“Serbuan itu membawa kepada penahanan lapan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran Tuhan Harun yang aktif di Pahang pada 2013. Hasil risikan mendapati profil dan modus operandi kumpulan itu mempunyai persamaan dan kaitan rapat dengan ajaran tersebut,” katanya.

Turut disita adalah beberapa peranti seperti telefon bimbit, komputer riba, tablet dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan ajaran itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI