BALIK PULAU – Seorang nelayan tidak menduga dua pemuda yang ditemui ketika memukat ikan di perairan Keracut, Kuala Sungai Pinang, di sini pada Isnin lalu masih tidak pulang ke darat meskipun operasi pencarian mereka sudah masuk hari keempat, semalam.
Suhaimi Idris, 51, berkata, dia juga berasa terkilan apabila tidak membawa mereka pulang sejurus dimaklumkan mengenai kerosakan bot yang dihadapi ketika itu.
“Kejadian berlaku pada waktu maghrib, kira-kira pukul 7.15 malam. Bot yang mereka naiki itu berada berdekatan bot kami.
“Mereka ada beritahu yang bot mereka mengalami kerosakan dan kami segera menghubungi pemilik bot berkenaan supaya datang memberi bantuan dengan kadar segera.
“Saya masih terbayang wajah dua pemuda tersebut. Mereka nampak seperti biasa dan tak nampak cemas, malah dilihat lebih yakin setelah diberikan sauh.
“Kami ingatkan tiada apa-apa berlaku selepas mendapatkan pertolongan dari darat. Kami pun sambung semula kerja-kerja menarik pukat yang mengambil masa selama hampir lima jam untuk ke darat meskipun ketika itu angin kuat dan laut beralun,” katanya kepada Kosmo! di sini kelmarin.
Katanya, dia dan rakan nelayan di Kuala Sungai Pinang turut berpakat untuk keluar mencari mangsa sehingga di sempadan laut Indonesia petang kelmarin.
“Namun tiada sebarang petunjuk baharu mengenai kehilangan mangsa termasuk tidak menemui apa-apa kelengkapan yang terapung sehingga malam semalam (kelmarin).
“Saya juga ada menceritakan tentang perkara (menemui mangsa di laut sebelum laporan kehilangan) kepada ahli keluarga mereka termasuk pihak berkuasa,” ujarnya.
Kosmo! melaporkan dua pemuda iaitu Nor Hasrul Abdullah, 25, yang berasal dari Paya Kongsi, dan rakannya, Muhamad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dari Titi Teras hilang ketika berada di laut.
Mereka dilapor hilang lebih 92 jam, selepas salah seorang mangsa dikatakan sempat menghubungi waris mereka kira-kira pukul 12 tengah malam pada Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE