MONACO – Pengurus Paris Saint-Germain, Luis Enrique enggan menuding jaring kepada pengadil, Francois Letexier yang tidak melayangkan kad merah kepada pemain AS Monaco, Wilfried Singo.
Pada aksi Ligue 1 yang menyaksikan PSG menang 4-2 awal pagi semalam, Singo dilihat melakukan kekasaran terhadap penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma sehingga mengalami kecederaan teruk di bahagian muka.
“Keputusan pengadil? Saya tidak boleh lakukan apa-apa kerana saya tidak melihat insiden berkenaan. Tetapi, apabila anda melihat kejadian itu, ia sentiasa sesuatu yang sukar.
“Pemain tidak berniat untuk mencetuskan kecederaan dan pasti sukar buat pengadil untuk mengendalikan perlawanan. Saya tidak akan bercakap tentang tugas pengadil,” katanya.
Pada perlawanan itu, Ousmane Dembele menyumbangkan dua gol buat PSG untuk melengkapkan dua lagi jaringan daripada Desire Doue, Goncalo Ramos manakala Eliesse Ben Seghir dan Breel Embolo mencipta jaringan buat AS Monaco.
PSG kini sudah pun meraih 40 mata untuk mengekalkan kelebihan di puncak liga dan Enrique nyata gembira dengan pencapaian ketika ini. – AGENSI