PETALING JAYA – Satu daripada lima kanak-kanak menghidap masalah bantut yang menjejaskan perkembangan fizikal dan kognitif, manakala hampir dua juta pula hidup dalam garis kemiskinan di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Madani, Muhammad Zulfadli Mohamad Zain berkata, keadaan itu amat membimbangkan ketika negara sedang menuju ke arah masyarakat menua menjelang 2030.
Sehubungan itu, pihaknya meneruskan Projek Anak yang membantu golongan memerlukan seperti anak yatim, asnaf, tiada kerakyatan, gelandangan dan kumpulan rentan dengan menyalurkan makanan, kesihatan, pendidikan dan pembangunan insan.
“Golongan penerima itu kita pertemukan dengan penyumbang melalui Majlis Makan Malam Ihsanku sebagai membina hubungan lebih erat antara kedua pihak.
“Selama ini, mereka tidak pernah berpeluang bertemu secara langsung. Acara ini juga adalah tanda penghargaan IM kepada penyumbang yang telah membantu merealisasikan Projek Anak,” katanya.
Menurut Muhammad Zulfadli, membina generasi muda yang berdaya saing amat penting untuk memastikan kesinambungan kepimpinan negara.
Tambahnya, 60 peratus sumbangan yang diberikan menumpukan kepada keperluan nutrisi, pendidikan, kesihatan, dan pembangunan modal insan untuk anak-anak.
“Pada majlis itu, kita menyampaikan Sumbangan Mikro Ihsan kepada lapan rumah anak yatim dan asnaf sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan hubungan dengan rumah angkat dan penyumbang,” katanya.
Ujar Muhammad Zulfadli, pihaknya percaya lebih ramai individu dan pihak korporat akan tampil menyokong misi kebajikan ini demi membina generasi yang lebih baik untuk masa depan melalui projek Ihsanku. – KOSMO! ONLINE