KUALA LUMPUR – I-Berhad mengukuh kerjasama dengan Wyndham Hotel dan Resorts untuk menubuhkan Wyndham Garden di i-City, ekoran sambutan positif oleh orang ramai terhadap kolaborasi pertama mereka, Wyndham Suites KLCC yang dilancarkan pada September 2023 lalu.
Menurut Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong, kerjasama itu membuktikan komitmen Kumpulan untuk meningkatkan tawaran hospitaliti dan rekreasi negara yang bertaraf dunia.
Katanya, berdasarkan kajian Tourism Malaysia, 13.7 peratus pelancong Malaysia mengutamakan ‘keseronokan dan keramahan’ keluarga sebagai aspek penting dalam percutian mereka.
“Pembangunan ini juga adalah seiring dengan pembukaan SkyCity yang merupakan menara setinggi 60 meter, dengan rekaan gelongsor kaca sepanjang 600 meter.
“Dengan memperkenalkan konsep inovatif yang menggabungkan tarikan seperti SkyCity dengan hospitaliti Wyndham Garden I-Berhad, ia sekaligus meletakkan kumpulan sebagai ruang ‘Playcation’ yang terkemuka,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran WynSports di Wyndham Suites KLCC, di sini semalam.
WynSports merupakan kemudahan kawasan permainan kanak-kanak yang pertama seumpamanya dalam rangkaian global Wyndham berkeluasan 24,500 kaki persegi.
Ia merangkumi kemudahan rekreasi aktif seperti zon memanjat, gelongsor, dan kawasan melompat, memenuhi keperluan keluarga yang mencari pilihan rekreasi di bandar.
Sementara itu, Presiden Wyndham Hotels dan Resorts, Joon Aun OOI turut menekankan bahawa pembangunan Wyndham Garden di i-City adalah bukti usaha mereka dalam menyampaikan pengalaman hospitaliti yang bertaraf dunia kepada pasaran pelancongan Malaysia yang sedang berkembang pesat.
“Secara tidak langsung, pembangunan ini juga dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui pelancongan,” jelasnya.