fbpx

Din Gagah tidak lagi segagah dulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ZAMRI (kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas kepada Nordin ketika dikunjungi di Kampung Balun, Slim River, Tanjung Malim kelmarin.

TANJUNG MALIM – Seorang bekas tentera dikenali sebagai Din Gagah tidak menyangka sera­ngan strok yang dialaminya sejak lima tahun lalu telah mengubah kehidupannya daripada seorang yang aktif kepada individu yang hanya terlantar di rumah.

Nordin Samat, 68, berkata, sejak bersara sebagai tentera 20 tahun lalu, dia banyak menghabiskan masa dengan berkebun dan menjadi penyelia ladang getah bagi menyara kehidupan.

Bagaimanapun, kejadian di­serang strok separuh badan pada tahun 2019 menyebabkan dia tidak lagi boleh bekerja dan hanya menghabiskan masa di rumah tanpa mampu berbuat apa-apa.

Lebih menyedihkan apabila isterinya, Kamariah Mohd, Yusof, 67, turut terlantar di atas katil selepas diserang penyakit sama sejak lebih 10 tahun lalu.

“Apa yang berlaku adalah takdir dan saya reda dengan ujian ini. Dahulu isteri yang menderita sebab strok, tetapi kali ini saya pula yang diuji.

“Kalau ikutkan saya memang tidak boleh buat apa-apa lagi dan untuk memegang gelas minuman pun tidak larat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Balun di sini kelmarin.

Beliau sebelum itu dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Balun, Mohd. Zamri Hussin, 56, yang hadir menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas.

Menurut Nordin, segala urusan diri dan isterinya kini diuruskan oleh dua orang anaknya iaitu Bakhtiar Affandi Nordin, 43 dan Norfaizatul Azima Nordin, 38.

“Mulia sungguh pengorbanan mereka kerana kedua-duanya tidak ingin berkahwin semata-mata ingin menjaga kami berdua sehingga akhir hayat,” katanya.

Ujarnya, dia kini bergantung kepada pencen sebanyak RM1,300 selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga RM400 untuk sebulan.

“Selain itu, isteri ada me­nerima bantuan lampin dewasa oleh Perkeso Perak untuk mengurangkan beban semasa tetapi susu khas yang digunakan kami berdua hampir RM1,000 setiap bulan,” katanya yang turut me­ngalami penyakit mudah lupa akibat serangan strok.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya di akaun Bank Simpanan Nasional 08226-41-00008650-2 atas nama Bakhtiar Affandi Nordin atau hubungi Bakhtiar di talian 017-483 9699.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI