SEPANG – Kehidupan perit seorang gadis dari Kuching, Sarawak yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia selama enam bulan di Kemboja berakhir selepas dia berjaya dibawa pulang ke tanah air.
Misi pembebasan gadis berusia 26 tahun itu dibuat dalam tempoh tiga hari selepas sidang akhbar oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di ibu negara.
Anak kesembilan daripada 11 beradik itu tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dengan diiringi Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.
Cerita mangsa, dia diperdaya seorang rakan lelaki yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan di Singapura, namun ‘diseludup’ ke Kemboja dengan mangsa lain dan dipaksa menjadi ejen penipuan dalam talian.
“Kami tidak tahu akan dibawa ke Kemboja dan sebaik tiba di sana, mereka paksa kami menjadi ejen scammer. Saya kerap dipukul dengan teruk sekiranya gagal capai sasaran,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
mangsa mendakwa dia pernah dikurung dalam tandas selama berminggu-minggu kerana tidak memperoleh angka jualan yang ditetapkan oleh sindiket.
“Saya juga pernah merasai azab kebuluran kerana tidak diberikan makanan selama seminggu sebagai hukuman,” katanya.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, selain gadis tersebut, pihaknya turut menyelamatkan seorang lelaki berusia 30 tahun dari Johor yang kudung tangan kanan. Pemuda itu berada di Kemboja selama lebih dua tahun sebelum diselamatkan MHO. – KOSMO! ONLINE