PETALING JAYA – Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2025 sebanyak RM2.8 bilion yang dibentangkan semalam merupakan belanjawan defisit RM325.9 juta.
DBKL dalam satu hantaran di Facebook bagaimanapun menegaskan, DBKL komited untuk mencapai belanjawan seimbang menjelang tahun 2026 melalui sokongan pelbagai pihak.
“Dengan berpandukan prinsip ‘Competent, Accountable, Transparent, Efficient and Effective’ (CATEE), DBKL akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga kota.
“Belanjawan ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang selesa untuk didiami dan disayangi tanpa meninggalkan mana-mana pihak atau tempat di belakang,” kata DBKL hari ini.
Belanjawan DBKL 2025 dibentangkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif di Anjung Singgahsana, Menara DBKL 1, Kuala Lumpur.
DBKL seterusnya berkata, Belanjawan DBKL 2025 bertemakan Kuala Lumpur Lestari, Warga Kota Sejahtera dirangka bukan sekadar sebagai pelan kewangan, tetapi juga sebagai pelan transformasi.
Jelas DBKL, ia melibatkan peruntukan RM2.84 bilion meliputi RM2.20 bilion (77.5 peratus) untuk Perbelanjaan Mengurus dan RM0.64 bilion (22.5 peratus) untuk Perbelanjaan Pembangunan.
“Anggaran hasil 2025 dijangka meningkat sebanyak 6.01 peratus kepada RM2.45 bilion,” kata DBKL.
Menurut DBKL, bagi merealisasikan hasrat bandar raya sejahtera untuk semua menjelang tahun 2030, DBKL telah menyediakan peruntukan mengikut bidang keutamaan berdasarkan Program Perdana DBKL.
Kata DBKL, program itu antaranya Program Mitigasi Banjir, Program Pengurusan Lalu Lintas dan Keselamatan, Program Rendah Karbon serta Pembangunan Berasaskan Pelan (Pewartaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur)
Tambah DBKL, program lain adalah ‘Green Connector’, Lestari Niaga, Rumah Majlis, Pengurusan dan Penyelenggaraan PA/PPR, Program Komuniti dan Program K2K, Kuala Lumpur Creative and Cultural District (KLCCD), Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta Tindakan Penguatkuasaan dan Pengurusan Sisa Pepejal. – KOSMO! ONLINE