fbpx

Wan Hai, Interasia capai 2 juta TEU di Northport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejayaan pencapaian kendalian dua juta TEU di Northport diraikan dalam satu majlis di Northport, Pelabuhan Klang hari ini.

PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd., ahli Kumpulan MMC merekodkan jumlah kendalian bersama sebanyak dua juta TEU (Unit Bersamaan Dua Puluh kaki) dalam setahun melalui syarikat perkapalan berpangkalan di Taiwan iaitu Wan Hai Lines (M) Sdn. Bhd. dan Interasia Lines (M) Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif MMC Port Holdings Sdn. Bhd., Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, Wan Hai telah mencatatkan pertumbuhan luar biasa sejak kejayaan mereka mencapai kendalian satu juta TEU pada tahun 2015 di Northport.

Menurutnya, Interasia pula telah mengukuhkan operasinya dan terus meningkatkan bahagian pasaran mereka di Northport.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Wan Hai dan Interasia di atas pencapaian signifikan dengan jumlah kendalian sebanyak dua juta TEU ini.

“Pencapaian ini mencerminkan pengukuhan dan potensi perdagangan IntraAsia yang semakin meningkat. Kami kekal komited dalam menyokong rancangan pengembangan rakan-rakan kongsi kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Perwakilan Wan Hai Lines Malaysia, Marvin Lin berkata, Northport dan Wan Hai menjalin kerjasama erat sejak 1989 dengan mengemudi pertumbuhan dan
cabaran selama berdekad lamanya secara bersama, terutamanya selepas pandemik.

“Pada masa itu, industri perkapalan global mengalami perubahan ketara, termasuk turun naik dalam ketersediaan ruang dan bekalan kontena, yang memberikan cabaran baharu buat industri.

“Namun Wan Hai dan Northport telah bekerjasama untuk menyesuaikan dan menangani cabaran ini dengan berkesan,” katanya.

Ujarnya, Pelabuhan Klang kekal sebagai hab transhipment penting kepada Wan Hai dan pihaknya berbesar hati dapat meraikan pencapaian dua juta TEU bersama Northport.

“Dengan penambahan kapal kami yang baru dibina pada tahun-tahun akan datang, kami yakin bahawa Wan Hai dan Northport akan terus berkembang dan memulakan lembaran baharu lebih mengujakan bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Presiden Interasia Lines Taiwan, Jeff Lo berkata, Interasia Lines amat menghargai sokongan berterusan dan perkhidmatan cemerlang yang diberikan oleh Northport.

“Selama bertahun-tahun, Northport telah menunjukkan komitmen jitu terhadap kecemerlangan operasi, menjadikannya rakan kongsi penting dalam perjalanan pertumbuhan kami.

“Kami tetap bersemangat dan optimis tentang masa depan. Kami berharap untuk meneruskan kerjasama dengan Northport dan MMC Ports bagi mencapai kejayaan yang lebih besar bersama-sama,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI