KLANG – Dua lelaki bertarung nyawa apabila hanyut di laut hampir 30 jam selepas jet ski dinaiki terbalik akibat masalah enjin di perairan Pulau Pintu Gedong di sini, kelmarin.
Kedua-dua mangsa dikenali Shahrul Hisham Mohd. Tahir, 50 dan Micheal Januarius, 68, dikatakan keluar memancing pukul 11.30 pagi sebelum diselamatkan sebuah kapal tangki yang melalui perairan itu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa daripada salah seorang anak mangsa sebelum operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pukul 2 pagi Rabu lalu.
Katanya, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti Royal Youth Club Selangor yang turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).
“Siasatan mendapati kedua-dua mangsa warga tempatan itu keluar memancing dengan menaiki jet ski.
“Bagaimanapun, jet ski yang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin akibat tali sauh yang tersangkut di bahagian impeller dan menyebabkan kerosakan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Difahamkan, kedua-dua mangsa terpaksa berpaut pada jet ski sebagai ‘pelampung kecemasan’ sepanjang tempoh tersebut hanyut itu.
Abdul Muhaimin memaklumkan Pusat Operasi Maritim Selangor kemudiannya menerima maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) kira-kira pukul 3.45 petang semalam bahawa dua mangsa tersebut telah ditemui sebuah kapal tangki.
Kapal itu dalam perjalanan ke Pelabuhan Taiwan dari Singapura.
“Kedua-dua mangsa itu ditemukan bersama sebuah jet ski dalam keadaan terbalik pada kedudukan 19.8 batu nautika dari barat Pulau Pintu Gedong selepas dilaporkan hilang pada jarak 14 batu nautika barat perairan sama,” jelasnya.
Beliau menegaskan kedua-dua mangsa telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dengan bot Polis Marin (PA 49) dan telah selamat tiba pukul 8.35 malam semalam. – KOSMO! ONLINE