PUTRAJAYA – Seramai 251 pekerja asing yang berdepan beberapa isu termasuk tunggakan gaji bersetuju untuk menerima bayaran tertunggak dengan dengan nilai keseluruhan melebihi RM3 juta.
Persetujuan itu dicapai melalui rundingan yang dibuat bagi tuntutan kes buruh oleh 57
pekerja asing terhadap syarikat itu semalam.
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) berkata, rundingan itu menemui kesepakatan
apabila kedua-dua pihak bersetuju dengan beberapa perkara yang dimeterai melalui
Memorandum Persefahaman (MoU) dan ditandatangani kesemua 251 pekerja asing syarikat terbabit.
“Selain itu, pihak pekerja asing yang terbabit turut bersetuju untuk diberikan pekerjaan melalui penempatan ke majikan baharu.
“Pihak JTK Semenanjung Malaysia turut mengenalpasti beberapa syarikat yang berkelayakan daripada aspek pematuhan undang-undang perburuhan dan syarat bagi menggajikan pekerja asing,” katanya hari ini.
Katanya, pemilihan syarikat baharu itu dibuat secara bersama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan agensi kawal selia.
“Pihak JTKSM melalui Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor dan PTK Pelabuhan Klang akan terus memantau proses bayaran gaji tertunggak dan juga pertukaran majikan sehingga selesai.
“Ia bagi memastikan hak dan kebajikan para pekerja terbela manakala syarikat melaksanakan tanggungjawab mereka sebaiknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE