fbpx

Taman tema air waktu malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kolam yang berkilauan dengan cahaya lampu di sekitarnya.

MELANGKAH masuk ke taman tema air, Splash Mania, Dengkil, Selangor pada waktu malam sememangnya memberikan pengalaman berbeza buat penulis.

Keadaan kolam renang yang berkilauan, gelongsor bercahaya dan udara malam yang sejuk memberikan suasana berbeza berbanding waktu siang.

Keadaan kapal besar bak replika, Flor de La Mar di Melaka dengan ketinggian bangunan 18 tingkat itu kelihatan megah membelakangi kegelapan malam.

Uniknya, pengalaman mandi di taman tema tersebut pada waktu malam hanya dapat dirasai sepanjang November lalu.

Menurut salah seorang pengunjung, Nurul Khalisah Abd. Khalil, ketiadaan cahaya matahari pada waktu malam menyebabkan dia tidak perlu memakai krim pelindung suria.

“Saya tidak perlu susah hati sekiranya kulit saya akan gelap akibat sinaran matahari. Ini kelebihan bermain taman tema air pada waktu malam.

“Walaupun perlu tunggu lama untuk bermain gelongsor kesukaan ramai seperti ‘Twista’ dan ‘Monsta’ kerana orang ramai, namun saya rasa ia berbaloi,” katanya.

Replika kapal besar dengan dilimpahi cahaya berjaya memukau para pengunjung Splash Mania, Dengkil, Selangor.

Splash Mania menawarkan 39 permainan tarikan kering dan basah, termasuk 24 permainan gelongsor dalam kawasan berkeluasan 6.47 hektar.

Taman tema air tersebut dilengkapi laluan sungai sepanjang 400 meter yang mempunyai pelbagai elemen bagi menghidupkan deria berbeza para pengunjung.

Laluan sungai itu dilengkapi terowong dengan bunyi hutan tropika, tembakan air, laluan hujan, selain kawasan berbuih, berombak dan jakuzi.

Menariknya, pada waktu malam, kebanyakan kolam menggunakan air bersuhu suam, sekali gus membuatkan pengunjung selesa mandi tanpa rasa sejuk.

Ini juga termasuk di kolam bahagian pantai tiruan, di mana suhu airnya membolehkan pengunjung berendam sambil menikmati lagu-lagu yang dimainkan oleh ‘DJ of the Night’.

Tambah Nurul Khalisah, persembahan visual yang menggabungkan lampu diod pemancar cahaya (LED) sungguh mengagumkan.

“Terasa seperti menonton konsert pada waktu malam, cuma keunikan pengalaman ini adalah penonton berdiri di dalam laut berombak buatan manusia.

“Airnya yang tidak sejuk, biarpun pada waktu malam. Ini memberikan rasa nyaman dan tenang sambil mendengar lagu-lagu popular dimainkan,” katanya.

Untuk pengunjung berkeluarga dan mempunyai anak-anak kecil, mereka boleh menghabiskan masa di kawasan permainan yang sesuai dikongsi golongan dewasa dan kanak-kanak.

Di situ terdapat gelongsor versi mini yang membolehkan kanak-kanak merasai pengalaman meluncur persis versi dewasa.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Thanisha Raj berharap pihak Splash Mania akan meneruskan kempen bermain di taman tema air waktu malam pada masa akan datang.

“Kami yang bawa anak-anak pun lebih selesa datang pada waktu malam kerana cuaca sejuk dan menyegarkan.

“Saya berharap kempen ini akan kembali semula tidak lama lagi terutama sewaktu cuti sekolah nanti,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI