fbpx

Remaja herdik ibu tak minta MC daripada doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seorang remaja perempuan sanggup memekik memarahi ibunya hanya kerana wanita itu tidak memohon sijil cuti rehat (MC) untuk anaknya yang senggugut sewaktu pemeriksaan doktor.

Tindakan kurang ajar gadis tersebut menyebabkan doktor yang merawatnya, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan mengeluarkan sijil cuti rehat kerana tidak sampai hati melihat rayuan permohonan ibunya.

Kisah itu dikongsikan oleh Dr. Kamarul Ariffin pada hantaran Facebook berhubung remaja berusia 13 tahun itu yang datang ke kliniknya serta ditemani ibu.

“Assalamulaikum. Apa khabar? Sakit apa hari ini? Tanya saya. Krik krik krik, dua saat berlalu, pandangan gadis itu masih tertumpu pada skrin telefon berwarna keemasan di tangannya.

“Sesekali tersenyum dan seraya menaip sesuatu. Setelah itu, masih juga tiada jawapan,” ceritanya.

Beliau berkata, remaja itu ditegur ibunya supaya menjawab pertanyaan tersebut, namun dia hanya berkata ‘senggugut’ dan masih sibuk dengan telefon bimbit berkenaan.

“Hari ni hari ke berapa? Tanya saya lagi. Dua saat berlalu. Sekali lagi soalanku dibiarkan tidak berjawab. Nampaknya, perbualan di WhatsApp itu lebih penting daripada perbualan antara saya dengan dia,” katanya.

Dr. Kamarul Ariffin mengambil telefon bimbit remaja tersebut dan menyerahkan kepada ibunya, namun gadis itu kemudian mengambilnya kembali dan menyuruh ibunya untuk menjawab pertanyaan beliau.

“Saya tahu sudi siasat itu penting, tapi saya hanya teruskan pemeriksaan tanpa sebarang bicara kerana saya takut tak dapat kekang diri daripada meledakkan kemarahan. Luluh hati, bagai kaca terhempas ke lantai.

“Silap kita juga. Kalau ibu bapa lebih rapat dengan telefon pintar daripada dengan anak-anak, inilah hasilnya. Generasi bertamadun tinggi, tapi mundur peradaban,” katanya.

Beliau berkata, ibu remaja itu turut memohon maaf bagi pihak anaknya sebelum meninggalkan bilik konsultasi.

“Saya dapat rasakan kekesalan dan kehampaannya melalui nada dan ketar suaranya. Gadis itu yang perlu tagih keampunan daripada emaknya. Apalah ertinya keampunan saya tanpa keampunan daripada seorang emak,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau kemudian terdengar remaja tersebut memarahi ibunya di kaunter klinik hanya kerana tidak meminta sijil cuti rehat.

“Mak kenapa tak mintakan MC, orang kan tak pergi sekolah tadi, ish (pekik remaja tersebut).

“Tiba-tiba kedengaran pekikan suara budak tadi di kaunter hadapan. Saya segera capai buku sijil cuti rehat. Sesungguhnya, sijil cuti itu saya beri bukan kerana gadis kecil itu layak, tapi saya tak sampai hati nak lihat si emak memohon.

“Sambil saya tandatangani sijil cuti sakit itu, air mataku bergenang. Ya Allah. Ampunkan dosa-dosa kami, dosa-dosa mereka yang sebelum kami dan juga yang bakal menggantikan kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI