PETALING JAYA – Pemilik akaun TikTok, Rayyan Wong dibebaskan dengan jaminan selepas ditahan bagi siasatan memfitnah Pemangku Sultan Johor dan Perdana Menteri berhubung restoran yang tidak mempunyai sijil halal.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 22 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
“Permohonan reman terhadap lelaki itu ditolak mahkamah kerana dia telah membuat permohonan maaf menerusi akaun TikTok @ryan_wong5845 tiga hari lalu.
“Permohonan maaf dah dibuat jadi dia dibebaskan dengan jaminan namun siasatan masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setelah siasatan lengkap, kita akan rujuk Jabatan Peguam Negara (AGC),” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Rayyan Wong ditahan polis selepas dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi Diraja dan Perdana Menteri baru-baru ini.
Razarudin berkata, polis merampas telefon pintar jenis Galaxy Z Flip 5 milik suspek.
Tegasnya, kandungan terbabit bersifat jelik yang dipercayai dengan niat untuk menyakitkan hati, memperlekeh dan menghina institusi Diraja.
“Ia juga turut didapati membangkitkan kebencian serta provokasi terhadap institusi Diraja yang berpotensi mengganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemilik akaun Tiktok terbabit turut mengeluarkan permohonan maaf kerana mengeluarkan kenyataan memfitnah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail serta Perdana Menteri makan di sebuah restoran yang disyaki tidak mempunyai sijil halal.
“Saya minta maaf geng tentang kenyataan makan di restoran tiada sijil halal rupanya ia ada sijil halal. Minta maaf kekhilafan sendiri kerana tidak buat kajian lebih lanjut.
“Saya dah turunkan video itu, yang sekarang sudah cecah 2 juta orang tengok (tontonan). Saya akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE.