SEREMBAN – Perolehan pesawat tempur F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini di peringkat akhir dan hanya menunggu kelulusan Amerika Syarikat (AS) sebagai negara pengeluar pesawat berkenaan.
Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, segala persuratan antara kedua-dua kerajaan telah dilaksanakan dan satu jawatankuasa ditubuhkan membabitkan kementerian, TUDM dan KAF.
“Jawatankuasa ini akan berbincang dan melaksanakan proses mengambil alih pesawat ini kelak. Keperluan pesawat pejuang F/A-18 Hornet ini adalah sementara menunggu (peruntukan) Rancangan Malaysia ke-15 (RMK-15) untuk pembelian yang baharu bagi menjalankan tugas.
“Pesawat pejuang yang ada sekarang terus menjalankan operasi seperti pesawat jenis Su-30MKM juga F/A-18D Hornet. Dengan penambahan pesawat dari Kuwait ini, kita akan dapat laksanakan tugas rondaan lebih efektif,” katanya pada sidang akhbar pada Hari Anugerah Kecmerlangan TUDM 2024, di Pangkalan Udara Sendayan, di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE