KUALA LANGAT – Seorang lelaki miang yang tular cuba merakam gambar bawah kain wanita di sebuah pasar raya akhirnya berjaya dicekup sekitar Banting, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, penahanan suspek tempatan berusia 30 an itu dilakukan awal pagi dan lelaki itu merupakan seorang penganggur.
“Suspek mengaku bahawa terlibat dan adalah individu yang dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) semasa kejadian. Lelaki tersebut turut mengakui ini merupakan kali pertama dia melakukan jenayah seksual sedemikian,” katanya hari ini.
Beliau menambah, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kini direman selama tiga hari. – KOSMO! ONLINE