fbpx

Penjawat awam senyum tengok slip gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Penjawat awam di seluruh negara melahirkan rasa syukur dan kegembiraan selepas menikmati kenaikan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) hari ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati, ramai berkongsi perasaan gembira memandangkan kenaikan kali ini bukan sahaja memberi kelegaan dalam menguruskan kos sara hidup yang semakin meningkat, malah menjadi satu penghargaan atas usaha dan khidmat bakti yang telah dicurahkan selama ini.

“Ramai berseri-seri pagi ini. Orang kerja kerajaan hari ini nikmati kenaikan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Tahniah buat penjawat awam. Jangan lupa tambahkan tabungan masing-masing,” kata seorang pengguna media sosial, Nsarabella.

Seorang lagi penjawat awam, Shamyra Rosli, berkata kenaikan ini memberikan kelegaan kepada keluarga mereka.

“Lega tengok slip gaji lepas penyelarasan gaji SSPA. Alhamdulillah syukur. Rezeki anak-anak,” ujarnya.

Sementara itu, Pak Maon yang turut menikmati kenaikan gaji tersebut melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan atas usaha meringankan beban rakyat.

“Alhamdulillah dengan kenaikan ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan untuk keluarga aku. Terima kasih kerajaan,” katanya.

Selain penjawat awam, pesara kerajaan turut berkongsi rasa syukur atas kenaikan pencen yang mereka nikmati.

Menurut Seth Shaari, yang telah menyumbangkan bakti selama lebih tiga dekad, kenaikan pencen ini sangat membantu meringankan kos sara hidup di usia emas.

“Menyumbang bakti selama 30-40 tahun dengan berkhidmat. Ada juga yang meninggal selepas pencen, tak sempat nak merasa duit pencen.

“Ada juga yang sakit tapi alhamdulillah pencen yang dapat ini boleh membantu untuk meringankan biaya hidup. Tak banyak pun tak apa. Sentiasa bersyukur,” katanya.

Seorang lagi pesara, Bisek Senduk, yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 36 tahun berkata, pencen yang diterimanya adalah hasil kerja keras dan pengorbanan selama bertugas.

“Syukur dengan pencen yang dapat. Sudah puas bertungkus-lumus kerja. Ada yang pahit, ada yang masam dan ada yang manis. Macam-macam dah dirasai selama bertugas,” katanya.

Raja, salah seorang pengguna Facebook, menasihatkan penjawat awam agar memanfaatkan kenaikan ini dengan sebaik-baiknya.

“Alhamdulillah rezeki. Guna lah pendapatan bulanan itu secara bijaksana. Pasti keperluan diutamakan. Kehendak berfikir panjang,” katanya.

Kenaikan gaji dan pencen ini bukan sahaja memberi impak positif kepada penjawat awam dan pesara, malah turut meningkatkan motivasi golongan pekerja untuk terus berkhidmat dengan cemerlang demi pembangunan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI