KULAI – Gara-gara gelap mata bagi meraih keuntungan sehingga 120 peratus dalam masa tiga hari sahaja, seorang peniaga rugi RM544,200 akibat pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 45 tahun mula terjerat apabila tertarik melihat iklan pelaburan di sebuah akaun Facebook.
Katanya, mangsa tersebut dihubungi seorang wanita untuk masuk dalam satu kumpulan WhatsApp saham pelaburan sebelum diminta memuat turun satu aplikasi.
Tambahnya, suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun milik mangsa yang didaftarkan menerusi aplikasi berkenaan
“Mangsa kemudian berminat untuk menyertai pelaburan saham tersebut yang menjanjikan keuntungan sehingga 120 peratus dalam tempoh tiga hari.
“Tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan, mangsa membuat tujuh transaksi pembayaran berjumlah RM544,200 ke dalam empat akaun bank tempatan bermula 25 November hingga 12 Disember lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seng Lee berkata, mangsa telah membuat semakan menerusi akaun miliknya dalam aplikasi tersebut dan mendapati keuntungan yang diperoleh berjumlah RM9,396,194.
bagaimanapun, katanya, apabila wanita tersebut cuba membuat pengeluaran wang dalam aplikasi itu, akaun miliknya itu sudah disekat. – KOSMO! ONLINE