SUNGAI BULOH – Pengasuh wanita yang dipercayai mencubit pipi dan telinga seorang bayi lelaki berusia 11 bulan sehingga lebam di sebuah taska di Puncak Alam, di sini, berdepan tuduhan di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, wanita berusia 24 tahun itu bakal dituduh di Mahkamah Klang pagi esok.
“Suspek mendapat arahan pertuduhan daripada Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak,” ujarnya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diperoleh, suspek bertindak mencubit pipi bayi tersebut.
“Telinga mangsa juga ada sedikit kesan tetapi bukan dipial,” katanya.
Sehubungan itu, hasil siasatan awal juga mendapati, pengasuh terbabit tidak mempunyai sijil bertauliah.
Suspek ditahan 14 Disember lalu selepas ibu bapa bayi mengesan kesan lebam pada pipi dan telinga kanan anak mereka.
“Pada awalnya, pengasuh memberi alasan bahawa lebam tersebut berpunca daripada bayi terjatuh dari meja.
“Namun, penyelia taska kemudian menghubungi pengadu pada pukul 7.30 malam dan memaklumkan bahawa kesan lebam itu sebenarnya disebabkan oleh tindakan pekerjanya,” katanya. -KOSMO! ONLINE.