KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengumumkan kehadiran pengendali baharu, Peter Cklamovski menghadirkan rasa ‘janggal’ dalam kem skuad kebangsaan pada baki saingan Piala Asean 2024 ketika ini.
Pandangan tersebut disuarakan oleh ketua jurulatih semasa, Pau Marti Vicente yang melihat pengumuman tersebut tidak memberi manfaat memandangkan pihaknya sedang fokus mengharungi kejohanan berprestij Asia Tenggara itu.
“Saya rasa sejak awal (kejohanan) lagi segala yang berlaku sedikit pelik. Malah, saya tidak tahu kebaikan apa yang boleh diberikan jika mengumumkan berita kehadiran jurulatih baharu sedangkan kami masih di sini.
“Namun, itu adalah perkara di luar kawalan yang kita tidak boleh atur dan apa yang pasukan boleh buat ketika ini adalah untuk memastikan kita fokus pada sesi latihan dan buat yang terbaik pada aksi bertemu Singapura nanti,” katanya.
Sebagai rekod, badan induk bola kebangsaan telah mengesahkan kehadiran Cklamovski sebagai pengendali baharu pada Isnin lepas bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan Pau Marti bermula Januari depan.
Bagaimanapun, laporan Kosmo! sebelum ini mengesahkan FAM memberi jaminan tugas Pau Marti tidak akan diganggu sesuai dengan kontraknya untuk menjadi pengendali pasukan sehingga Piala Asean berakhir pada 5 Januari depan.
Ini kerana Cklamovski diberikan mandat untuk mempersiapkan skuad kebangsaan bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula pada Mac depan.
Pau Marti telah bersama dengan skuad Harimau Malaya sejak 2022 sebagai penolong jurulatih kepada Kim Pan-gon sebelum dinaikkan pangkat pada Julai lepas selepas Pan-gon meletakkan jawatan secara mengejut.