fbpx

MSN tunggu jawapan Azizulhasni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI perlu segera membuat keputusan mengenai masa depannya untuk memastikan dirinya diserap masuk ke Program Podium.

MAJLIS Sukan Negara (MSN) memberi tempoh sehingga hujung tahun ini bagi menunggu jawapan berhubung status jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sama ada bersetuju untuk kekal ataupun tidak dalam Program Podium.

Timbalan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, badan induk sukan berbasikal negara itu perlu mendapatkan kata putus daripada pemenang dua pingat Sukan Olimpik itu berhubung perkara tersebut.

Tambah beliau, atlet berusia 36 tahun itu perlu mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, sama seperti atlet-atlet lain meskipun dia mahu memberi sepenuh fokus untuk menamatkan pengajian di Melbourne, Australia.

“Ia bergantung kepada persetujuannya untuk mencapai syarat pertama iaitu KPI ditetapkan, di mana dia perlu melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2025 sama ada dalam acara berpasukan ataupun individu.

“Kalau dia bersetuju dengan KPI yang ditetapkan selain menerima syarat berkenaan, kami akan tawarkannya untuk masuk ke Program Podium. Sebagaimana atlet-atlet lain, mereka ada KPI masing-masing yang boleh dicapai,” katanya selepas merasmikan Jelajah Juara e-Sukan di MSN, Bukit Jalil semalam.

Ujar Jefri, atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu akan ditawarkan kemasukan ke Program Podium pada 1 Januari, sekali gus memerlukan PKBM berhubung dengan Azizulhasni dengan kadar segera.

“Kami akan kemukakan tawaran (masuk ke Program Podium) pada 1 Januari nanti. Oleh itu, kami akan akan minta persatuan untuk berhubung dengan beliau dalam masa terdekat,” jelasnya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKBM, Ahmad Arif Astaman berkata, pihaknya dan MSN bersetuju untuk mengekalkan Azizulhasni dalam Program Podium tahun depan dengan kontrak sedia ada akan tamat hujung bulan ini.

Difahamkan, atlet yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu masih menyuarakan hasrat terus menabur bakti bersama skuad kebangsaan walaupun fokusnya ketika ini adalah untuk menamatkan pengajian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN