fbpx

MAG perkenal Airbus 330neo, transformasi baharu penerbangan nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke (tengah) melihat reka bentuk kelas perniagaan Airbus 330neo di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad di Sepang hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

SEPANG- Malaysia Aviation Group (MAG) memperkenalkan debut pertama pesawat badan lebar Airbus 330neo, sekali gus menandakan transformasi baharu dalam aspek pemodenan syarikat penerbangan nasional itu.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, kemunculan pertama itu juga memberi terjemahan kepada transformasi MAG dengan menerapkan era baharu perjalanan udara.

“A330neo ialah pesawat terbaharu yang menyertai armada MAG di mana sebanyak 20 buah akan dihantar sehingga 2028 menerusi
Memorandum Persefahaman yang dimaterai bersama Airbus, Rolls-Royce dan Avolon.

“Selain itu, pesawat yang dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7000 ini turut menampilkan inovasi aerodinamik, bahan termaju selain memberikan pengurangan sehingga 14 peratus dalam penggunaan bahan api dan pelepasan karbon berbanding generasi sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pesawat Pertama A330neo yang dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke di sini tadi.

Untuk rekod, pesawat terbaharu ini menawarkan sebanyak 297 kerusi meliputi 28 di kelas perniagaan dan 269 di ekonomi.

Sementara itu, Anthony Loke berkata, pihaknya berharap supaya MAG dapat meningkatkan prestasi ‘on time performance’ selari dengan pemodenanan armada syarikat penerbangan itu.

“Jangkaan kami untuk MAG ialah dengan pemodenan dan penambahbaikan ini, daripada segi armada ialah perlu meningkatkan prestasi ‘on time performance’.

“Bagaimanapun, saya perlu akui MAG khususnya Malaysia Airlines dan MASwings, prestasi telah meningkat sejak dua bulan lalu terutamanya bagi sektor domestik,” jelasnya.

Pada masa sama, katanya, pemilikan pesawat baharu itu bukan sahaja melibatkan pemodenan armada, tetapi menjadi asas kepada Malaysia Airlines dalam meneroko pasaran penerbangan mampan.

“A330neo mewakili perkongsian penting antara Malaysia dan Airbus, kerjasama yang telah berkembang sejak dekad lalu.

“Malaysia kini merupakan pembekal terbesar komponen kepada Airbus di Asia Tenggara, dengan bahagian dibuat di sini termasuk sarung kipas enjin, avionik dan komponen sayap logam yang dipaparkan pada pesawat Airbus di seluruh dunia,” katanya.

Jelasnya, pencapaian itu menjadi bukti keupayaan anak tempatan dalam sektor aeroangkasa yang mana telah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI