KUALA LUMPUR – Bintang muay thai negara, Muhammad Johan ‘Jojo’ Ghazali Zulfikar mengesahkan bahawa dia akan memberi tumpuan kepada pertarungan di ONE Championship sekali gus menolak untuk mewakili negara menyertai Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Thailand tahun depan.
Jojo yang kini sedang mencipta nama dalam kejohanan ONE Championship menegaskan dia mahu membuka laluan kepada atlet muda yang berpotensi untuk ke temasya dwitahuan tersebut pada tahun depan.
“Bagi Jojo, kejohanan ONE Championship dengan perlawanan yang saya akan tempuhi selepas ini sudah mencapai peringkat tertinggi dalam muay thai. Jadi, buang masa untuk beraksi menyertai Sukan SEA untuk menyumbang pingat.
“Saya ingin beri peluang kepada atlet muda Malaysia yang lebih berpotensi untuk beraksi di temasya tersebut,” katanya pada sesi sidang media dalam talian sebentar tadi.
Johan, 18, atau mesra disapa Jojo kini berada di Thailand dan sedang menjalani latihan untuk berdepan dengan jaguh Colombia, Johan Estupinan dalam pertarungan ONE 170 di Impact Arena di Bangkok yang berlangsung pada 24 Januari ini nanti.
Tegas Jojo, dia melakukan persiapan terbaik untuk menghadapi lawannya itu memandangkan Estupinan mempunyai rekod yang cemerlang tanpa tewas dalam empat pertarungan sebelum ini.
“Saya telah berlatih selama dua bulan sekarang dan saya telah belajar banyak perkara. Apapun, ia akan menjadi satu pertarungan yang menarik antara dua petarung muda,” katanya.
Dalam pertarungan pada September lalu, Jojo mendapat kemenangan ‘knockout’ (KO) selepas mengalahkan Josue Cruz pada aksi ONE 168 di Denver, Colorado, Amerika Syarikat.
Hasil kemenangan tersebut, Jojo membawa pulang bonus prestasi berjumlah AS$50,000 (kira-kira RM225,329) sekali gus melebarkan rekodnya di ONE kepada 6-1. -KOSMO! ONLINE