SHAH ALAM – Sebanyak 141 kertas siasatan dibuka termasuk melanggar fatwa ajaran sesat berkaitan GISB Holding Sdn. Bhd.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya sekarang dalam perbincangan dengan pihak pendakwa syarie sebelum ia dimuktamadkan bagi pertuduhan terhadap ahli-ahli kumpulan tersebut yang ditangkap pihaknya sebelum ini.
Katanya, bagaimanapun segala kuasa pertuduhan adalah dibawah pendakwaan syarie.
“Kita hampir membuka 141 kertas siasatan dan semua kertas telah saya muktamadkan. Sekarang dalam proses memenuhi beberapa kehendak pihak pendakwaan yang masih disempurnakan dalam tempoh seminggu ini.
“Insya-Allah kalau ada kes, kita akan dakwa secepat mungkin, kalau tiada kes pun itu kehendak pendakwa raya syarie,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan peperiksaan penilaian sekolah-sekolah agama dibawah JAIS, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan terhadap penangkapan 108 individu yang disyaki terlibat dengan GISBH sebelum ini.
Mohd. Shahzihan menjelaskan kebanyakan kes didakwa rata-ratanya melibatkan Seksyen 12 (c ) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor melibatkan fatwa yang telah dikuatkuasakan berhubung GISBH.
Tambahnya, mungkin juga akan dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan syarie adalah melibatkan cubaan menghidupkan ajaran sesat juga dibawa enakmen sama.
Ketika ditanya kaedah pemulihan digunakan bagi GISBH bagi mengelakkan timbul pecahan kumpulan lain meskipun telah melakukan kursus wajib istitabah 500 jam, Mohd. Shahzihan memaklumkan ia bukan sahaja melibatkan proses pemulihan akidah malah bagaimana mengintegrasikan mereka kepada masyarakat sepenuhnya dan bukan dalam kumpulan mereka sahaja.
Justeru, kata beliau, ia melibatkan semua agensi termasuk dalam memberikan sokongan sosial kepada ahli-ahli kumpulan tersebut dan anak-anak mereka.
“Titah Sultan Selangor itu jelas supaya mengintegrasikan mereka kepada mainstream dan bukan hanya semasa-mata proses menyempurnakan atau mengembalikan fahaman mereka
“Sebab selama ini dapatkan bantuan secara daripada kumpulan dia. Ini juga selaras dengan keputusan kerajaan untuk semua agensi apatah lagi agensi agama bagi mencari jalan apa jua pun supaya mereka ini benar-benar dapat hidup bersama dengan kita seperti biasa,” katanya. -KOSMO!ONLINE