JAKARTA – Indonesia merancang untuk membina sebuah loji tenaga nuklear pertama di Pulau Kelasa dalam wilayah Bangka Belitung, Pulau Sumatera dengan anggaran kos 17 trillion rupiah (RM4.7 bilion), lapor majalah pelaburan internet, The Investor semalam.
Ketua Pegawai Operasi PT ThorCon Power Indonesia, Bob S. Effendi yang merupakan pelabur projek berkata, pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan tentang pembinaan loji tersebut.
Menurutnya, bagi industri elektronik, negara itu kukuh dengan unsur nadir bumi, namun potensi tersebut tidak dieksploitasi secara berkesan untuk menyumbang kepada ekonomi negara.
Reaktor prototaip nuklear itu akan dihantar melalui jalan laut dari Korea Selatan pada 2028 dan akan menjadi loji perintis di dunia menggunakan sumber nadir bumi torium .
Syarikat itu merancang menggunakan torium iaitu unsur nadir bumi radioaktif sebagai bahan mentah yang banyak terdapat di Bangka Belitung.
Jumlah pelaburan untuk projek itu adalah termasuk kos tinjauan, penyelidikan, pemindahan teknologi dan infrastruktur.
Sebelum ini, kerajaan Indonesia mengumumkan rancangan untuk membina lebih 20 loji tenaga nuklear menjelang 2050.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, syarikat elektrik milik negara (PLN) bekerjasama dengan syarikat dari Jepun dan Amerika Syarikat (AS) untuk membina loji tersebut.
Korea Selatan, Russia, Perancis dan China juga telah menyatakan minat untuk menyokong pembangunan tenaga nuklear di Indonesia.
Sementara itu, negara tersebut mempunyai dua lokasi berpotensi untuk pembinaan loji tenaga nuklear iaitu di Kalimantan Barat dan Bangka Belitung. – AGENSI