SEREMBAN – Dua beradik yang merupakan peniaga air soya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdayakan dua lelaki bagi pembelian minuman keras dan barangan lain yang tidak wujud bernilai RM457,682.
Tertuduh Goh Ching Jin, 31 dan Goh Kim Chai, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di dua kamar mahkamah berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli dan Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh secara bersama-sama telah menipu seorang lelaki berusia45 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM265,680 secara tunai bagi tujuan pembelian minuman keras yang tidak wujud.
Bagi pertuduhan kedua, dua beradik itu berdepan pertuduhan sama terhadap seorang lelaki berusia 47 tahun bagi tujuan pembelian minuman keras, minuman bergas dan minyak masak tidak wujud berjumlah RM192,002 secara tunai.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah pasar raya di Nilai pada 19 Februari lalu.-KOSMO! ONLINE