SINGAPURA – Seorang bekas pengawal sebuah syarikat keselamatan Singapura didenda selepas meninggalkan pondok pengawal dan terlupa mengambil bom palsu dari lokasi latihan, lapor portal berita VNExpress semalam.
Durendran Vicknesh Venkatraman, 46, yang merupakan bekas pekerja firma keselamatan, One Imperial Security didenda SGD$1,800 (RM6,000) oleh sebuah mahkamah daerah kelmarin.
Dia sebelum ini mengaku bersalah meninggalkan pondok pengawal di Kompleks Perindustrian Sing iaitu tempat latihan keselamatan tersebut diadakan.
Sekitar pukul 4.25 pagi pada 5 Januari 2024, dua perunding keselamatan dihantar ke lokasi tersebut untuk melakukan latihan keselamatan melibatkan simulasi serangan untuk menguji langkah keselamatan.
Apabila tiba, mereka gagal menemui Durendran di pos pengawal. Seorang perunding kemudian meletakkan bom palsu dalam beg kertas berwarna coklat berhampiran pondok tersebut sebelum beredar.
Perunding keselamatan itu kemudian menghubungi Durendran untuk memberi arahan tentang cara menyahaktif bom palsu itu tetapi dia terlupa untuk mengambilnya.
Pengawal keselamatan seterusnya yang mengambil alih syif menemui bom palsu itu yang dianggapnya sebagai bahan letupan sebenar sebelum menghubungi polis.
Situasi itu mendorong polis memindahkan lebih 100 orang sebelum mendapati ia sebenarnya bom palsu. – AGENSI
.