HANOI – Sebuah bar karaoke terbakar di ibu kota Vietnam, Hanoi, menyebabkan 11 orang terbunuh dan dua lagi cedera dalam kes disyaki perbuatan khianat, kata polis hari ini.
Gambar di lokasi kejadian menunjukkan bangunan berbilang tingkat di barat Hanoi itu bertukar hitam dengan kebanyakan strukturnya hangus dijilat api.
Polis berkata, mereka menerima aduan kebakaran pukul 11 malam semalam dengan ramai orang terperangkap di dalam bangunan.
Pekerja penyelamat bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya mengeluarkan tujuh mangsa hidup-hidup dengan dua orang dikejarkan ke hospital. Seramai 11 yang lain ditemui mati, kata polis.
“Kami mengesyaki bar itu sengaja dibakar dan menangkap pelakunya,” kata polis Hanoi dalam satu kenyataan.
Seorang saksi, Tran Duc Tuan memberitahu AFP bahawa dia berlari keluar dari rumahnya dan melihat 5 hingga 6 motosikal marak dibakar api, menyebabkan laluan masuk ke dalam bangunan terhalang.
“Kami melihat lampu sebuah telefon bimbit menyala di balkoni tingkat tiga. Ketika itu, kami sedar terdapat sebilangan mangsa di dalam bangunan,” kata Tuan.
Menurutnya, penduduk berdekatan berusaha memadamkan api dengan mencurah air selama lebih sejam.
“Ini kebakaran terbesar pernah saya lihat dan tiada laluan keluar langsung,” katanya.
Lebih 10 jentera bomba dan ambulans bergegas ke tempat kejadian, lapor media tempatan.
Polis berkata, seorang suspek ditangkap sekitar tengah malam.
Lelaki itu pergi ke bar karaoke untuk minum bir sebelum bertengkar dengan pekerjanya. Dia kembali semula sambil membawa petrol lalu menyimbahnya pada sebilangan motosikal yang diletakkan di luar premis itu dan membakarnya, kata polis. – AFP