fbpx

6,417 pegawai perubatan letak jawatan sejak 2019 hingga 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan seramai 6,417 pegawai perubatan lantikan tetap dan kontrak telah meletakkan jawatan sejak tahun 2019 hingga 2023.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga merekodkan seramai 1.046 pakar perubatan meninggalkan perkhidmatan awam dalam tempoh berkenaan.

Katanya, seramai 63 pakar perubatan lain pula memilih untuk bersara pilihan.

“Antara punca pegawai perubatan berkenaan meletakkan jawatan kerana memperoleh tawaran bekerja sebagai pensyarah di universiti awam (UA).

“Punca lain peletakan jawatan pegawai perubatan berkenaan adalah disebabkan masalah peribadi, isu kompetensi dan masalah kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Senator Dr. A Lingeshwaran yang meminta penjelasan daripada Menteri Kesihatan berhubung jumlah pegawai perubatan tetap dan kontrak yang meletak jawatan atau bersara pilihan dari KKM, dalam tempoh lima tahun terakhir.

Selain itu, Dr. Dzulkefly berkata, terdapat juga peletakan jawatan yang perlu dibuat oleh pegawai selaras dengan peraturan mengenai perkhidmatan yang berkuat kuasa bagi tujuan pegawai lantikan kontrak dipendekkan tempoh kontrak sedia ada, dilantik semula secara tetap dan bertujuan memudahcara proses pembayaran ganjaran kontrak.

“Menurut stastitik, daripada 6,417 pegawai perubatan yang meletak jawatan, 2,385 orang adalah mereka yang berjawatan tetap, manakala baki 4,032 orang adalah lantikan kontrak.

“Jumlah peletakan jawatan itu tidak termasuk 1,086 pegawai perubatan kontrak yang meletak jawatan kerana memendekkan perkhidmatan kontrak sedia ada, bagi tujuan menerima tawaran pelantikan tetap dan diproses ganjaran kontrak,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, setakat 30 Jun lalu seramai 298,853 petugas kesihatan masih berkhidmat di KKM.

“Jumlah ini meliputi 266,133 petugas kesihatan lantikan tetap dan sebanyak 32,720 lagi adalah petugas kesihatan lantikan kontrak.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,638 orang adalah pakar perubatan, manakala 44,155 adalah pegawai perubatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI