KUALA LUMPUR – Seramai 4.0 juta atau 30.5 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bawah umur 55 tahun telah membuat pengeluaran Akaun Fleksibel dengan jumlah pengeluaran RM11.6 bilion.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Yin berkata, jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel pula adalah sebanyak RM7.4 bilion setakat November 2024.
Beliau berkata, sejak penstrukturan semula akaun mula dilaksanakan pada 11 Mei 2024, seramai 4.1 juta atau 31.6 peratus daripada jumlah 13.1 juta keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun telah memilih untuk mempunyai amaun permulaan di dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan simpanan sebanyak RM14.5 bilion.
“Sejumlah RM6.6 bilion simpanan pula telah dipindahkan ke Akaun Persaraan.
“Tujuan utama Penstrukturan Semula Akaun KWSP adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan jangka panjang terutama untuk persaraan dengan
keperluan kewangan jangka pendek dan jangka sederhana,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Roderick Wong Siew Lead mengenai jumlah permohonan dan jumlah pengeluaran yang telah diluluskan melalui KWSP Akaun 3 selepas inisiatif itu dilaksanakan.
Mengulas lanjut Hui Ying berkata, inisiatif itu juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi
untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak.
“Sejak penstrukturan semula akaun mula dilaksanakan pada 11 Mei 2024, KWSP telah memberi peluang kepada ahlinya bermula 12 Mei
sehingga 31 Ogos 2024 untuk memilih sama ada ingin mempunyai amaun permulaan atau tidak dalam Akaun 3.
“Sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan Akaun Persaraan adalah
berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli,” katanya. – KOSMO! ONLINE