BENTONG – Usaha meningkatkan pengeluaran getah negara akan dipergiatkan termasuk pembinaan 10 lagi kompleks lateks di seluruh negara menjelang 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain itu juga beliau telah mengarahkan supaya penanaman semula getah dilakukan di kawasan seluas kira-kira 400,000 hektar di seluruh negara.
“Kita gunakan dana dalaman untuk membina pusat-pusat ini bertujuan menambah pendapatan pekebun-pekebun kecil getah dan kita juga mahu mengurangkan kadar pengimportan lateks ini dari luar negara bagi kegunaan kilang-kilang kita yang mengeluarkan bahan berasaskan getah asli seperti sarung tangan dan pelbagai produk yang lain.
“Dari segi jangka panjang pula saya telah meminta agar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) melakukan penanaman semula getah-getah yang telah matang untuk ditanam semula,”katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Kompleks Lateks di Agropolitan Chemomoi di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, pembinaan 10 kompleks lateks itu akan dilakukan mengikut beberapa zon seperti zon utara, zon Johor dan zon timur.
Dalam pada itu, beliau berkata, Risda komited melaksanakan cadangan pembangunan penanaman getah negara berskala besar bagi meningkatkan pengeluaran hasil getah negara.
“Pelan strategik cadangan itu kini sedang diperhalusi melalui pembangunan Model Transformasi Risda 2030 yang bakal dilaksanakan dengan fokus kepada peningkatan pengeluaran hasil lateks yang dijangka mampu mencapai pengeluaran hasil satu juta tan metrik menjelang 2030.
“Ia dilihat bakal menjadi pemangkin perubahan kepada penghasilan getah domestik dan dalam pada masa sama memperkasakan peranan pekebun kecil getah selari dengan aspirasi madani,”katanya.
Sementara itu mengulas mengenai tindakan pekebun getah yang menggantikan tanaman getah dengan kelapa sawit yang dilihat lebih berdaya saing pada masa ini beliau berkata, perkara itu telah dibangkitkan dalam perbincangannya dengan kerajaan negeri.
Katanya, penukaran tanaman berkenaan perlu mematuhi syarat-syarat yang akan ditetapkan oleh kerajaan negeri dalam memastikan usaha meningkatkan hasil getah di negara ini.-KOSMO! ONLINE