PETALING JAYA – “Saya tutup pintu untuk orang tahu tentang kehidupan saya kerana tiba masanya untuk saya lakukan secara berbeza kali ini,” kata pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof yang bertindak menukar Instagram miliknya kepada mod tetapan peribadi (private mode).
Menerusi hantaran pada akaun tersebut, Vivy berkata, tindakan menjadikan Instagramnya dalam mod tersebut merupakan perkara yang tidak pernah terfikir untuk dilakukannya.
“Era seterusnya ini akan menjadi sama menarik. Pada hari lahir saya, saya lakukan sesuatu yang tidak pernah saya fikir untuk melakukannya, saya jadikan akaun saya ‘private’ (peribadi).
“‘Pempengaruh’ akan menjadi ‘tidak akan mempengaruhi’. Jadi ia hanya akan menjadi anda dan saya untuk seketika, dan 1.8 juta yang lain. Tetapi itu sahaja buat masa ini,” katanya.
Mengimbas kembali permulaan ketika mahu bertapak, Vivy berkata, hampir 20 tahun lalu, beliau memulakan blog yang tidak pernah terbayang bahawa ia akan membuatkan begitu banyak pintu peluang.
“Ia membawa saya mencipta jenama dengan pasukan yang hebat, mengumpulkan komuniti yang menyaksikan saya membesar daripada seorang pelajar universiti kepada seorang isteri, ibu serta seorang usahawan penuh dengan turun naik (suka duka).
“Saya berkongsi dan berlebihan berkongsi hampir semua bahagian dalam hidup saya, baik atau buruk, dan saya tidak akan menyesalinya. Itulah jalan yang dipilih untuk saya yang memberi rezeki kepada keluarga, dan banyak lagi keluarga lain insya-Allah.
“‘Proudduck’, terima kasih kepada anda untuk segala-galanya, anda akan sentiasa menjadi sebahagian daripada saya,” katanya.
Pada 5 Disember lalu, Vivy atau nama sebenarnya, Vivy Sofinas Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
Bagaimanapun Vivy, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rosli Ahmad. – KOSMO! ONLINE.