fbpx

[VIDEO] Lelaki bertopeng, bersenjata pecah masuk rumah di Muar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN polis melakukan siasatan ke atas kereta Perodua Myvi yang ditinggalkan suspek di Jasin, Melaka selepas melakukan cubaan samun bersenjata di Muar.

MUAR – Tular di Facebook beberapa video kejadian dua lelaki bertopeng melakukan pecah masuk rumah dan samun bersenjata dipercayai berlaku di sebuah rumah di Taman Sri Treh, di sini.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan masa dan tarikh kejadian berlaku pada pukul 5.21 petang semalam.

Dalam video pertama, salah seorang suspek memegang senjata tajam menyorok di sebalik tembok pintu pagar, sementara sebuah kereta Perodua Myvi memasuki garaj rumah terbabit dipercayai dipandu rakan sepenjenayah terbabit.

Kedua-dua suspek dilihat memakai sarung tangan dan membawa senjata seperti parang dan besi kuku kambing berjalan memasuki rumah mangsa.

Dalam video berikutnya salah seorang suspek yang memakai baju hitam, bertopi serta memakai pelitup muka memasuki ruang tamu dan pada masa sama kelihatan penghuni iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak sedang tidur di atas sofa.

Seorang lagi suspek memasuki salah satu bilik rumah terbabit menyelongkar mencari barang berharga.

Tidak lama kemudian, dua lelaki dipercayai ahli keluarga rumah berkenaan tiba dan cuba memeriksa kereta Perodua Myvi sebelum mangsa diserang kedua-dua suspek menggunakan senjata parang.

Suspek menghidupkan enjin kereta Perodua Myvi dan merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) dan motosikal yang diparkir di hadapan rumah.

Suspek kemudiannya berjaya melarikan diri dengan Perodua Myvi berwarna putih.

Difahamkan, salah seorang mangsa cedera terkena libasan parang ketika bergelut dengan suspek.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, polis menemui kereta Perodua Myvi ditinggalkan di dalam garaj sebuah rumah di Jasin, Melaka kira-kira pukul 11.30 pagi hari ini dipercayai digunakan suspek dalam kejadian samun berkenaan.

“Polis sedang giat mengesan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” ujarna.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian samun itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor P. Seventhi di talian 011-16251909 atau talian hotline IPD Muar 06-9526001.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI