KUALA LUMPUR – Sebagai seorang isteri, penyanyi Shila Amzah melahirkan rasa kesal apabila terdapat pihak menuduh suaminya yang juga pempengaruh, Ubai sebagai lelaki panas baran susulan perkongsiannya mengenai isu keganasan dalam hubungan baru-baru ini.
Menurut Shila, 34, Ubai terkejut dan kecewa apabila dituduh sebagai suami kaki pukul terutama selepas muncul banyak komen negatif dalam media sosial.
“Ubai kecewa, dia patah seribu dan risau sebab ramai tuduh dalam media soaial dia pukul saya.
“Saya cakap dengan dia jangan risau sebab dia tak buat,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media Countdown Istimewa MeleTOP di sini, semalam.
Mengulas mengenai tindakannya memuat naik tentang isu keganasan baru-baru ini, Shila menegaskan perkongsian tersebut adalah berdasarkan pengalamannya sebagai mangsa dalam hubungan toksik.
“Apabila saya kongsi tentang keganasan dalam hubungan, bukan bermaksud hanya berlaku selepas berkahwin tetapi hakikatnya perkara tersebut sudah bermula ketika bercinta juga.
“Sebenarnya pasangan sudah tunjuk perangai sebenar sebelum kahwin tetapi sebab sayang, kita sering menafikan benda itu.
“Orang begitu sangat ekstrem sebenarnya. Jadi, saya memang nak kongsi tentang isu itu walaupun ada yang cakap saya buka aib. Cukuplah kata saya suka londehkan aib,” jelasnya.
Dia berkata, perkongsian sebegitu diharap dapat membuka mata individu yang menjadi mangsa untuk tampil dan berani bersuara.
“Saya pasti ada wanita termasuk lelaki sekali pun yang pernah dan sedang melalui perkara tersebut akan sedar agar lari daripada hubungan toksik tersebut selepas melihat banyak perkongsian tentang isu keganasan dalam hubungan.
“Sebab kes sebegitu selalu dipandang enteng dan tidak didengari. Kalau buat laporan sekali pun, tiada apa yang akan berubah.
“Perkara sebegitu yang kita bimbang dan lebih teruk apabila libatkan perkahwinan serta jejaskan mental anak-anak,” katanya lagi.
Ujarnya, jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan, ramai individu yang panas baran dan mendera pasangan akan lebih berani melakukan keganasan.
“Sebab itu saya rasa terpanggil untuk kongsi juga bagi membuktikan mangsa juga sudah mampu bersuara dan membuatkan pendera tidak berani untuk lakukannya lagi.
“Namun, kalau individu yang terlibat dikenali tetapi memilih mendiamkan diri, kes keganasan dalam hubungan akan terus berleluasa,” ujar pemilik nama penuh Nurshahila Amir Amzah itu.
Sebelum ini, Shila lantang bersuara tentang isu keganasan melibatkan rumah tangga kerana enggan melihat lebih ramai individu menjadi mangsa.
Perkongsiannya sebelum ini yang berdasarkan kes melibatkan model Zahnita Wilson juga menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen sehingga ada yang menyangka rumah tangganya bermasalah sehingga menuduh suaminya sebagai lelaki panas baran. – KOSMO! ONLINE