SEREMBAN – Seorang wanita warga Indonesia dikesan aktif melakukan aktiviti khurafat dengan menilik nasib pelanggan menggunakan kad tarot di media sosial TikTok sehingga mampu memperoleh pendapatan lumayan.
Kegiatan wanita dan kekasihnya yang merupakan seorang pengkid masing-masing berusia 30-an bagaimanapun berjaya dihidu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Negeri Sembilan (JHEAINS) baru-baru ini.
Pasangan kekasih songsang itu kemudian ditahan JHEIANS di sebuah rumah dua tingkat di Sendayan di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, hasil risikan mendapati kegiatan terbabit dilakukan pasangan itu sejak pertengahan tahun ini menerusi siaran langsung TikTok.
Menurut Ahmad Zaki, bayaran dikenakan kepada pelanggan adalah menerusi pemberian ‘gift’ di TikTok berdasarkan tiga bentuk ramalan iaitu soal percintaan, nasib ekonomi dan tuah kehidupan.
“Berdasarkan keterangan daripada suspek, mereka mendakwa hanya memperoleh RM20 sehari, tetapi kita percaya boleh dapat lebih daripada itu berdasarkan kemampuan mereka menyewa rumah yang kadar sewanya lebih RM1,000,” katanya di sini hari.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut juga mendapati kedua-dua suspek tidak bekerja dan wanita Indonesia itu pula dikesan telah tinggal lebih masa di negara ini. – KOSMO! ONLINE