PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah meletakkan apa-apa syarat tambahan kepada golongan warga emas bagi memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penegasan itu dibuat bagi menjelaskan mesej tular melalui platform media sosial berkenaan syarat tambahan kepada golongan warga emas yang perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan sebelum memperbaharui LMM.
“Proses pembaharuan LMM bagi golongan warga emas adalah masih tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard pembaharuan LMM sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap maklumat yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, JPJ sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan kesejahteraan orang awam terutamanya para pelanggan JPJ sentiasa terpelihara.
Terdahulu, mesej tular itu mendakwa bermula 1 Januari depan, warga emas yang ingin memperbaharui LMM perlu menjalani pemeriksaan fizikal.
Dakwa mesej itu lagi, kumpulan warga emas perlu lulus pemeriksaan itu sebelum dapat memperbaharui lesen memandu mereka. – KOSMO! ONLINE