MOSCOW – Russia menahan seorang suspek bagi insiden pembunuhan ketua angkatan senjata kimia negara itu, kata penyiasat hari ini, sehari selepas Leftenan Jeneral Igor Kirillov dan pembantunya terbunuh dalam letupan di Moscow.
“Seorang warga Uzbekistan dilahirkan pada tahun 1995 telah ditangkap kerana disyaki melakukan serangan yang mengorbankan komander pasukan pertahanan radiologi, kimia dan biologi Rusia, Igor Kirillov serta pembantunya, Ilya Polikarpov,” kata Jawatankuasa Penyiasatan dalam satu kenyataan.
“Lelaki itu memberitahu bahawa dia telah direkrut oleh pasukan khas Ukraine,” tambah kenyataan sama.
Kirillov dan pembantunya terbunuh apabila sebuah peranti letupan yang dipasang pada sebuah skuter meletup di luar sebuah bangunan apartmen awal pagi semalam di Ryazansky Avenue, Moscow.
Jawatankuasa Penyiasatan berkata, suspek memberitahu penyiasat bahawa dia datang ke Moscow untuk melakukan serangan itu.
Kamera yang dipasang pada papan pemuka kereta sewa yang diletakkan di luar bangunan tersebut turut merakam detik serangan itu.
Ia kemudian disiarkan secara langsung kepada dalang serangan di bandar Dnipro (Ukraine) .
Suspek turut dijanjikan habuan sebanyak AS$100,000 (RM447,000) untuk melakukan serangan itu, serta peluang untuk menetap ‘di negara Eropah’, demikian menurut kenyataan sama.
Kirillov merupakan pegawai tentera berpangkat paling kanan yang dibunuh di Russia ketika kempen ketenteraan Moscow di Ukraine berlarutan.- AFP