BANGKOK – Seorang suami menembak mati isterinya di hadapan anak lelaki mereka di sebuah rumah di Thailand, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Suspek bertindak demikian selepas mengesyaki isterinya menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita tomboi.
Polis menahan suspek berusia 49 tahun dikenali sebagai Boonlai di daerah Nikhom Kham Soi di Mukdahan semalam. Dia disyaki membunuh isterinya, Phitchaya, 49, yang dipercayai bermotifkan cemburu.
Pembunuhan itu berlaku di rumah kekasih Phitchaya yang dikenali sebagai Maneerat di wilayah Roi Et.
Suspek memberitahu polis bahawa dia pergi ke rumah Maneerat bersama anaknya untuk menemui Phitchaya selepas mangsa tidak pulang ke rumah setelah menonton konsert.
Lelaki itu kemudian bertanya kepada mangsa secara bersemuka sama ada dia mahu pulang bersama, tetapi pelawaan itu ditolak.
Suspek berkata, dia tidak dapat menahan diri lalu mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak mangsa sebanyak dua kali di kepala dari jarak dekat. – AGENSI