ALOR SETAR – “Saya nampak Mercedes itu melambung dan berpusing lebih tiga kali. Waktu itu saya menjerit dan laung Subhanallah, Allahuakbar kerana terlalu terkejut.”
Demikian kata peniaga, Raja Asmah Raja Jaafar, 42, yang menyaksikan kemalangan membabitkan kereta jenis Mercedes-Benz dan Hyundai Matrix berdekatan pusingan U di Jalan Lencong Barat, di sini kira-kira pukul 8.50 malam tadi.
Kejadian itu mengakibatkan pemandu dan seorang penumpang belakang Mercedes-Benz maut di lokasi, manakala tiga penumpang lain cedera. Kesemua mangsa berusia 18 tahun.
Pemandu Hyundai Matrix iaitu lelaki berusia 74 tahun turut mengalami kecederaan.
Menurut Raja Asmah, semasa kejadian dia sedang berniaga di sebuah restoran berhampiran lokasi kemalangan.
“Waktu itu saya baru nak masak ‘lokcing’ dengan mata memandang ke arah jalan sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dan melihat sebuah kereta melambung dan berpusing lebih tiga kali.
“Kereta itu kemudian berhenti atas pembahagi jalan dan saya tergamam apabila melihat ada satu mangsa di atas bumbung kereta. Ada beberapa lagi mangsa bergelimpangan atas jalan raya,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Jelas Raja Asmah, mangsa yang berada di atas bumbung Mercedes-Benz dan seorang lagi yang tercampak atas jalan raya sudah tidak bergerak sebelum disahkan meninggal dunia.
Katanya, kawasan tersebut kerap berlaku kemalangan kerana kebanyakan kenderaan dipandu laju dan gagal mengelak kenderaan lain yang membuat pusingan U.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Mercedes-Benz dari arah Tol Alor Setar Selatan menghala ke Masjid Aman berlanggar dengan Hyundai Matrix yang sedang membuat pusingan U dari arah bertentangan. – KOSMO! ONLINE