SEPANYOL – Penasihat pasukan Red Bull, Helmut Marko mendedahkan pengumuman mengenai barisan pemandu pasukan itu untuk musim 2025 akan dibuat dalam masa terdekat, sekali gus menghangatkan lagi spekulasi mengenai masa depan Sergio Perez.
Desas-desus mengenai perubahan barisan pemandu Red Bull semakin kuat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, terutamanya selepas prestasi pasang surut Perez sepanjang musim 2024.
Kegagalannya memberi saingan konsisten telah dikaitkan dengan kelemahan Red Bull mempertahankan kejuaraan pengeluar apabila mereka akhirnya ditewaskan oleh McLaren dan Ferrari pada penghujung musim.
Meskipun Perez mempunyai kontrak sehingga penghujung 2026, hasil perjanjian yang ditandatangani pada musim panas lalu sebagai langkah Red Bull mengekalkan kestabilan dan keputusan itu kini dipertimbangkan semula.
Antara calon yang disebut-sebut ialah bintang muda Racing Bulls, Liam Lawson yang telah mencuri perhatian ramai selepas mempamerkan prestasi mengagumkan serta ketenangan luar biasa ketika mengendalikan tekanan dalam 11 perlumbaan awalnya bersama pasukan RB.
“Kami akan mengumumkan berita tentang pasangan pemandu untuk tahun depan dalam beberapa hari akan datang,” kata Marko.
Lawson turut menyuarakan keterujaannya jika diberikan peluang memandu bersama Red Bull, terutamanya untuk bekerjasama dengan Max Verstappen, juara dunia empat kali yang menjadi tulang belakang kejayaan pasukan itu.
“Sebagai pemandu, dapat berlumba dengan seseorang yang telah memenangi empat kejuaraan dunia dan memahami jentera yang dibangunkan dengan sempurna dan itu adalah peluang pembelajaran yang luar biasa buat saya,” katanya. – AGENSI