KUALA LUMPUR – Enggan orang luar mencampuri urusan Wings, vokalisnya Datuk Awie berharap tiada pihak yang cuba mengeruhkan ketenangan dengan menyuarakan pelbagai cadangan untuk penyatuan semula.
Kata pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 56, itu, sememangnya rancangan untuk bersatu pernah difikirkan namun keutamaan kini adalah kepada ahli sedia ada serta rencana jangka panjang yang sudah disusun.
“Sila bertenang. Sebenarnya saya juga ingin bersama rakan lain (JoBranko) tetapi kalau hanya dengan individu itu sahaja, dua orang ini (Sham dan Edrie) saya nak campak ke mana?
“Kemahuan ‘orang’ ini hanya empat sahaja (Awie, Eddie, Black dan JoBranko), jadi tak baguslah. Kita pun nak, tetapi dalam masa tengah kita perjuangkan sesuatu ini, kita jalan dulu (projek lain).
“Yang lain jangan sibuk sebab Joe (JoBranko) pun dah ‘move on’. Saya pun dah ‘move on’. Kita tiada apa-apa nak dikecohkan lagi. Mereka (Barbarik) dah ada band bagus, Barbarik sangat bagus, jalan terus tiada masalah,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang media Konsert TRIAD, semalam.
Menurut penyanyi rock tersohor itu, pada usianya yang sudah melebihi separuh abad sememangnya silaturahim menjadi harapannya, apatah lagi bersama kawan lama.
Begitupun, katanya, dia sendiri enggan jika tersilap kata boleh mengundang salah faham, sekali gus soal penyatuan dengan bekas anggota asal band terbabit tidak mahu diungkit lagi.
“Memang kita nak. Dah makin peringkat umur ini kita tak nak kecoh-kecoh. Saya pun tak pernah nak bising apa-apa. Saya diam sahaja, saya cakap apa pun tidak. Tapi bila orang luar pula bercakap macam ini untuk apa? Tak usah keruhkan keadaan.
“Nanti benda ini nampak buruk pada saya juga. Saya tak nak orang asyik menuduh saya sebab itu saya tak pernah buka mulut pun soal peribadi, soal kejadian A hingga Z. Saya diam,” ujarnya.
Bahkan sejujurnya Awie berpendapat JoBranko sudah mempunyai landasan terbaik bersama kumpulannya sendiri iaitu Barbarik yang disifatkan dilengkapi tunjang terbaik.
“Saya suka tengok band dia. Saya tengok persembahan mereka, bagus band ini, teruskan. Tak ada apa lagi dia (JoBranko) nak toleh belakang. Tak perlu lagi, masing-masing sudah bahagia dengan jalan hidup sendiri.
“Saya pun tengok mereka okey, dah sukses. Yang bagus teruskan dan saya sokong. Tak perlu nak fikir lagi yang lepas-lepas.
“Apa yang membuatkan fikiran orang (negatif) adalah mereka di kiri kanan yang (cakap) bukan-bukan,” katanya lagi.
Mengenai Konsert TRIAD, Awie memaklumkan projek yang dirancang sejak 2019 itu bakal menyaksikannya sebagai penyanyi utama untuk tiga kumpulan rock ikonik iaitu Wings, Search Kid Din, dan juga Dragon Malaya.
Konsert TRIAD anjuran syarikatnya sendiri, Rumah Produksi Merah itu dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari depan pukul 8.30 malam. – KOSMO! ONLINE