MUAR – Keluarga salah seorang tahanan Amerika Syarikat di Kem Guantanamo, Cuba menunggu penuh harapan kepulangannya ke negara ini, seterusnya bertemu dengan keluarga tercinta.
Najib Lep, 60, berkata, berita kepulangan adiknya, Mohammed Nazir, 48, hanya diketahui melalui akhbar, namun masih belum menerima apa-apa pemakluman rasmi daripada pihak berkaitan.
Katanya, jika benar seperti dikhabarkan, keluarganya amat bersyukur kerana penantian sejak sekian lama akhirnya terlerai dan diharapkan menjadi kenyataan untuk mereka bersatu semula sebagai sebuah keluarga.
“Banyak sangat beritanya, tak tahu yang mana satu, tapi kita tunggu sahaja jika ada rezeki pasti akan dapat bertemu semula. Kalau benar, syukur Alhamdulilah dan terima kasih Allah,” jawapnya ringkas ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Najib turut mengharapkan adiknya itu dapat tinggal bersama keluarga di Muar Johor selepas dikembalikan ke Malaysia.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, kerajaan Malaysia sudah menerima dua warga negara yang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo, Cuba selepas diserahkan oleh Amerika Syarikat (AS).
Katanya, keputusan menerima Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin dibuat atas prinsip hak asasi manusia dan dokongan keadilan sejagat.- KOSMO! ONLINE.