KANGAR – Seorang pembantu kedai runcit terpaksa meringkuk dalam penjara selama 11 bulan selepas mengaku bersalah menghina Raja Perlis di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid memerintahkan hukuman ke atas tertuduh, Muhamad Basri Shah Rohani, 33, yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan berjalan mulai hari ini
Pada 22 Jun 2022, tertuduh dihukum penjara setahun dan denda RM5,000 atas kesalahan itu, malah sempat dijel selama sebulan sembilan hari sebelum membuat rayuan di Mahkamah Tinggi di sini.
Mahkamah Tinggi pada April tahun lalu menetapkan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Sesyen.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Basri didakwa mengeluarkan kenyataan menerusi akaun Facebook menggunakan nama Basri Shah dengan kata-kata menghasut di sebuah hotel, di sini pada pukul 1.45 tengah hari, 22 Mac 2022.
Peguam Muhammad Hasif Hassan dalam rayuannya memohon hukuman berbentuk denda ke atas anak guamnya kerana ia merupakan kesalahan pertama.
Malah, Muhammad Hasif berkata, anak guamnya sudah insaf dan bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan selain membuat permohonan maaf kepada pihak istana.
Pengarah Pendakwaan negeri, Muhamad Asyraf Md. Kamal mencadangkan hukuman berat sebagai pengajaran kerana membabitkan kepentingan awam yang menyentuh institusi agama negeri di bawah kuasa Raja Perlis.
Muhamad Asyraf juga menyebut kenyataaan tertuduh di Facebook terhadap raja adalah kenyataan menghasut, apatah lagi ditujukan kepada raja pemerintah selain tertuduh tidak memadam kenyataan itu walaupun ada pihak yang menegur perbuatan tersebut tidak wajar. – KOSMO! ONLINE