TANJUNG MALIM – Pasukan ResQ Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan meluaskan skop bantuan terhadap mangsa bencana seperti banjir termasuk sokongan psikososial dan khidmat kaunseling kepada mereka.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, peluasan skop bantuan Pasukan ResQ berkenaan adalah bermatlamat untuk membantu memulihkan emosi dan mental mangsa bencana berkenaan.
Beliau berkata, ia sekali gus memastikan Pasukan ResQ UPSI terus memainkan peranan aktif dalam menyokong masyarakat yang terjejas akibat bencana.
“Sebagai organisasi yang berpegang kepada prinsip kemanusiaan, kami komited untuk memastikan bantuan dan sokongan diberikan kepada mereka yang memerlukan sepanjang tempoh sukar ini.
“Keprihatinan ini bukan hanya terhenti setakat bantuan fizikal. Kami mahu memastikan mangsa-mangsa ini dapat bangkit semula dengan semangat yang lebih kuat selepas melalui ujian berat ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa UPSI sentiasa menggalakkan pelajar dan kakitangan universiti untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan terutamanya ketika menghadapi situasi bencana alam seperti itu.
“Kami percaya bahawa dengan menyemai nilai-nilai kemanusiaan dan kepedulian sosial, universiti dapat memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan bertanggungjawab,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE