fbpx

KTMB akan operasikan laluan Pan Asia, tiada operator kedua – MOT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan operator kedua selain Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi mengoperasikan laluan Pan Asia terutamanya bagi laluan dari negara ini ke China pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, setakat ini, pihaknya akan memperkasakan operator sedia ada iaitu KTMB.

“Kerajaan belum ada lagi untuk mengadakan operator kedua. Kita memperkasakan yang sedia ada terutamanya KTMB itu sendiri sebab seperti mana YB (Yang Berhormat) katakan tadi sehingga ke Kunming, China.

“Sekarang ini pun ada yang mula beroperasi, tetapi ada sedikit masalah berkaitan urusan kastam dan beberapa lagi. Tetapi, insya-Allah semuanya akan berjalan terus kerana semua MoU (Memorandum Persefahaman) juga telah dibuat antara Laos, Thailand dan sebagainya.

“Jadi untuk mengadakan yang kedua itu (operator kedua) belum lagi, tetapi kita akan memperkasakan yang sedia ada,”katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Baharuddin Ahmad yang bertanyakan sama ada Kerajaan bercadang untuk mewujudkan operator kedua bagi mengoperasi laluan Pan Asia pada masa akan datang.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berharap perancangan pembangunan rangkaian rel kereta api yang menghubungkan Malaysia dan China dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata walaupun rancangan itu masih di peringkat awal, kementerian berhasrat untuk mempercepatkan usaha berkenaan dalam usaha memanfaatkan hubungan serantau.

Malah katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra kelmarin turut membincangkan kepentingan pembinaan infrastruktur rel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI